Memaparkan catatan dengan label Berita. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Berita. Papar semua catatan

Berita - 25/03/2011


Selamat labur dalam emas

- Harian Metro 25/03/2011


MASYARAKAT tempatan terutama golongan wanita yang gemar menggunakan perhiasan berasaskan emas digalakkan supaya menjadikan hobi itu sebagai pelaburan utama memandangkan nilai bahan itu melonjak tinggi hampir setiap tahun.

Pengurus Kanan Operasi Runcit Habib Jewels Sdn Bhd, Mohd Zaruddin Mahmud berkata, naik turun nilai emas tidak terlalu terpengaruh jika berlaku inflasi dan hal itu menjadi faktor utama mendorong masyarakat untuk membeli emas dan membuat pelaburan.

“Melabur dalam aset ini adalah satu pelaburan yang selamat dan tidak akan terjejas walaupun situasi dunia sekarang yang sedang bergolak dan menghadapi masalah ketidaktentuan dalam kestabilan ekonomi,” katanya.

“Pelaburan emas yang menguntungkan ini adalah pelaburan jangka panjang. Jika beli emas sekarang, selepas lima hingga 10 tahun nilai emas akan naik,” katanya kini harga emas bernilai RM157 per gram.



Hartanah naik mendadak?

- Utusan Malaysia 25/03/2011


Harga hartanah di Kuala Lumpur dan Pulau Pinang bakal menyamai Singapura dalam beberapa tahun akan datang sekali gus menjadikan harga rumah kediaman dan komersial naik mendadak.

Pakar Ekonomi JP Morgan Singapura, Ong Sin Beng berkata, kenaikan harga hartanah di kedua-dua lokasi di Malaysia itu berikutan lokasinya, kenaikan harga tanah tanpa kawalan dan terdapatnya pembangunan hartanah mewah di tempat-tempat strategik.

Katanya, daripada segi pasaran, senario itu amat baik kerana mampu menjana ekonomi tetapi menyukarkan golongan berpendapatan pertengahan memiliki hartanah yang harganya sebegitu mahal.

"Persoalan kini kenaikan harga hartanah yang mendadak menyempitkan lagi peluang kepada golongan tertentu untuk membelinya tetapi tidak bagi golongan kaya," katanya.

Beliau berkata demikian dalam forum anjuran Persatuan Ekonomi Malaysia (MEA) sempena Laporan Tahunan Bank Negara di sini hari ini.

...

Dalam pada itu, Dr. Subramianim Pillay dari MEA yakin terhadap unjuran ekonomi Malaysia bagi 2011 dan 2012.

Beliau berkata, Malaysia bergantung besar terhadap pelaburan tempatan dan apa yang berlaku di Jepun hanya merupakan gangguan sementara.

Katanya, syarikat-syarikat Jepun mungkin meningkatkan pengeluaran di kilang tempatannya berikutan kemudahannya di Jepun tidak dapat beroperasi.

"Dalam tempoh tiga bulan, kedudukan ekonomi dunia mungkin meningkat apabila Jepun mula membangunkan semula infrastrukturnya yang musnah, merangsang permintaan untuk bahan mentah," katanya.

Tambah Subramaniam, kebergantungan ekonomi kepada Jepun mungkin menjejaskan sedikit ekonomi negara namun beliau percaya negara matahari terbit itu akan bangkit dalam beberapa bulan akan datang.

Berita - 24/03/2011


Tidak membimbangkan

- Utusan Malaysia 24/03/2011


Kenaikan harga minyak di pasaran global tidak akan membantutkan pertumbuhan ekonomi negara tahun ini kecualilah ia melepasi paras AS$150 setong.
Gabenor Bank Negara Malaysia, Tan Sri Zeti Akhtar Aziz berkata, unjuran awal Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak lima hingga enam peratus pada tahun ini, telahpun mengambilkira harga minyak mentah yang semakin meningkat sekitar AS$90 (RM272.43) hingga AS$100 (RM302.7) setong.
“Sekiranya harga minyak terus meningkat ia akan memberi kesan kepada ekonomi dunia secara keseluruhannya.
....
Menyentuh mengenai inflasi, Zeti berkata, ia dijangka berada pada kadar 2.5 peratus sehingga 3.5 peratus tahun ini disebabkan oleh peningkatan harga komoditi dan minyak mentah.
Bagaimanapun, masalah itu bukan hanya dialami oleh Malaysia tetapi juga negara-negara serantau.



Sistem kewangan kita kekal stabil

- Utusan Malaysia 24/03/2011


Sistem kewangan negara terus kekal stabil pada 2010, membolehkan sektor kewangan menyediakan sokongan penting kepada ekonomi, meskipun dalam keadaan sepanjang tahun.
Gabenor Bank Negara Malaysia, Tan Sri Dr. Zeti Akhtar Aziz berkata, sektor kewangan disokong oleh asas-asas yang kukuh, termasuk penampan kewangan yang teguh, kualiti aset yang tinggi dan pengurusan risiko yang mantap.
Menurut beliau, kemantapan sektor kewangan bukan sahaja menyumbang kepada fungsi proses pengantaraan kewangan yang cekap, malah ia juga memastikan tindak balas yang teratur kepada kejutan terhadap sistem kewangan.
....
Zeti berkata, biarpun hutang isi rumah meningkat dalam tahun-tahun kebelakangan ini, namun ia terus disokong oleh penampan kewangan yang kukuh pada peringkat agregat.
Untuk memastikan ia tidak menjadi penyebab ketidakstabilan kewangan, dasar yang menyeluruh telah diperkenalkan pada 2010 termasuk dalam sektor hartanah, langkah baharu kad kredit dan keperluan diperkukuh terhadap bank bagi melaksanakan amalan pinjaman yang berhemat dan bertanggungjawab.




Ekonomi diunjur 6% tahun ini

- Utusan Malaysia 24/03/2011


Ekonomi Malaysia diunjurkan berkembang pada kadar 5.0 hingga 6.0 peratus pada tahun 2011, disokong oleh peningkatan berterusan dalam permintaan dalam negeri.
....
Penggunaan swasta akan disokong oleh keadaan pasaran pekerja yang menggalakkan, pendapatan boleh guna lebih tinggi dan keyakinan pengguna yang mapan.
Keadaan guna tenaga dijangka bertambah baik, khususnya lebih banyak peluang pekerjaan dalam sektor perkilangan dan perkhidmatan yang berorientasikan dalam negeri.
Gaji dalam sektor swasta dijangka terus meningkat dan harga komoditi terus tinggi akan meningkatkan pendapatan isi rumah.
Selain itu, akses kepada kredit juga akan memberikan sokongan kepada perbelanjaan isi rumah pada tahun 2011.
....
Inflasi keseluruhan dijangka meningkat pada purata 2.5 hingga 3.5 peratus pada 2011 dan terus didorong oleh faktor penawaran.
Harga komoditi global diramal naik akibat gangguan bekalan disebabkan oleh keadaan cuaca yang buruk, perkembangan geopolitik, aktiviti spekulasi dan permintaan yang kukuh dari ekonomi sedang pesat membangun.