Berita - 28/02/2011

Dinar Emas dan Dirham Perak Negeri Perak - Utusan Malaysia 28/02/2011

SETIAUSAHA Eksekutif The Red Snapper (M) Sdn. Bhd., Nor Suhaida Ramli menunjukkan dinar emas dan dirham perak negeri Perak selepas pelancarannya oleh Menteri Besar, Datuk Seri Mohd. Zambry Abdul Kadir, di Bangunan Kerajaan Negeri, Ipoh, 28 Feb. - Utusan/MOHD NAJIB MOHD NOR



Bumiputera perlu bangkit kuasai ekonomi - Utusan Malaysia 28/02/2011

Gagasan Badan Ekonomi Melayu (Gabem) menggesa golongan bumiputera di negara ini bangkit memperjuangkan ekonomi mereka supaya tidak terus ketinggalan.

Pengerusinya, Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik berkata, ketidakseimbangan pencapaian ekonomi antara kaum yang berlaku ketika ini perlu diubah bagi memastikan nasib bumiputera pada masa depan lebih terjamin.

Menurutnya, bagi mencapai tujuan itu, generasi muda terutama mahasiswa perlu berusaha mempersiapkan diri dengan ilmu pengetahuan yang mendalam serta asas kukuh yang berkait rapat dengan ekonomi.

"Ketika ini 67 peratus rakyat Malaysia adalah bumiputera tetapi kita hanya menguasai 19 peratus ekonomi negara. Ia berbeza dengan kaum Cina yang hanya 23 peratus komposisi tetapi menguasai 46 peratus ekonomi Malaysia.

"Di sinilah perjuangan yang perlu kita lakukan dan peranan ini perlu dipikul oleh penuntut-penuntut kita. Mereka perlu menjadi ejen perubahan yang boleh mengubah ekonomi bumiputera ke satu tahap lebih hebat dan mampu bersaing dengan kaum lain dalam bidang ekonomi," katanya.

Rahim berkata, ketidakseimbangan dalam pencapaian ekonomi itu harus diubah segera bagi memastikan bumiputera terus berdaya saing dan maju. "Apa yang berlaku sekarang ini umpama seorang yang badan besar tetapi kekuatannya sangat kecil. Sesuatu perlu dilakukan kerana kita tidak patut menjadi minoriti ekonomi sedangkan kita golongan majoriti.

"Untuk itu minda, cara berfikir, sikap dan paradigma kita perlu diubah. Kita perlu berani meneroka bidang perniagaan terutama sektor swasta," katanya.




Usahawan muda perlu bentuk jaringan perniagaan - Utusan Malaysia 28/02/2011

Usahawan muda di negara ini disaran membentuk jaringan sesama mereka supaya dapat meluaskan peluang perniagaan dan membantu meningkatkan pencapaian dalam bidang tersebut.

Penaung Kelab Usahawan Muda 1Malaysia (1MYEC), Tan Sri Rozali Ismail berkata, jaringan tersebut akan memberikan peluang untuk usahawan muda bertukar-tukar pandangan dan meniupkan semangat saling membantu bagi memantapkan kemahiran masing-masing.

Katanya, golongan muda perlu melebarkan penerokaan mereka dalam bidang keusahawanan kerana ia merupakan kerjaya yang berpotensi untuk menjamin masa depan mereka.

"Penglibatan generasi muda jaringan perniagaan dengan institusi korporat serta kerajaan dapat membina hubungan yang baik untuk perkembangan perniagaan mereka.

"Hubungan yang ada boleh digunakan dengan sebaik mungkin untuk membuka peluang perniagaan dan terus mengembangkan perniagaan sedia ada ke peringkat yang lebih tinggi,"