Berita - 25/03/2011


Selamat labur dalam emas

- Harian Metro 25/03/2011


MASYARAKAT tempatan terutama golongan wanita yang gemar menggunakan perhiasan berasaskan emas digalakkan supaya menjadikan hobi itu sebagai pelaburan utama memandangkan nilai bahan itu melonjak tinggi hampir setiap tahun.

Pengurus Kanan Operasi Runcit Habib Jewels Sdn Bhd, Mohd Zaruddin Mahmud berkata, naik turun nilai emas tidak terlalu terpengaruh jika berlaku inflasi dan hal itu menjadi faktor utama mendorong masyarakat untuk membeli emas dan membuat pelaburan.

“Melabur dalam aset ini adalah satu pelaburan yang selamat dan tidak akan terjejas walaupun situasi dunia sekarang yang sedang bergolak dan menghadapi masalah ketidaktentuan dalam kestabilan ekonomi,” katanya.

“Pelaburan emas yang menguntungkan ini adalah pelaburan jangka panjang. Jika beli emas sekarang, selepas lima hingga 10 tahun nilai emas akan naik,” katanya kini harga emas bernilai RM157 per gram.



Hartanah naik mendadak?

- Utusan Malaysia 25/03/2011


Harga hartanah di Kuala Lumpur dan Pulau Pinang bakal menyamai Singapura dalam beberapa tahun akan datang sekali gus menjadikan harga rumah kediaman dan komersial naik mendadak.

Pakar Ekonomi JP Morgan Singapura, Ong Sin Beng berkata, kenaikan harga hartanah di kedua-dua lokasi di Malaysia itu berikutan lokasinya, kenaikan harga tanah tanpa kawalan dan terdapatnya pembangunan hartanah mewah di tempat-tempat strategik.

Katanya, daripada segi pasaran, senario itu amat baik kerana mampu menjana ekonomi tetapi menyukarkan golongan berpendapatan pertengahan memiliki hartanah yang harganya sebegitu mahal.

"Persoalan kini kenaikan harga hartanah yang mendadak menyempitkan lagi peluang kepada golongan tertentu untuk membelinya tetapi tidak bagi golongan kaya," katanya.

Beliau berkata demikian dalam forum anjuran Persatuan Ekonomi Malaysia (MEA) sempena Laporan Tahunan Bank Negara di sini hari ini.

...

Dalam pada itu, Dr. Subramianim Pillay dari MEA yakin terhadap unjuran ekonomi Malaysia bagi 2011 dan 2012.

Beliau berkata, Malaysia bergantung besar terhadap pelaburan tempatan dan apa yang berlaku di Jepun hanya merupakan gangguan sementara.

Katanya, syarikat-syarikat Jepun mungkin meningkatkan pengeluaran di kilang tempatannya berikutan kemudahannya di Jepun tidak dapat beroperasi.

"Dalam tempoh tiga bulan, kedudukan ekonomi dunia mungkin meningkat apabila Jepun mula membangunkan semula infrastrukturnya yang musnah, merangsang permintaan untuk bahan mentah," katanya.

Tambah Subramaniam, kebergantungan ekonomi kepada Jepun mungkin menjejaskan sedikit ekonomi negara namun beliau percaya negara matahari terbit itu akan bangkit dalam beberapa bulan akan datang.

Berita - 24/03/2011


Tidak membimbangkan

- Utusan Malaysia 24/03/2011


Kenaikan harga minyak di pasaran global tidak akan membantutkan pertumbuhan ekonomi negara tahun ini kecualilah ia melepasi paras AS$150 setong.
Gabenor Bank Negara Malaysia, Tan Sri Zeti Akhtar Aziz berkata, unjuran awal Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak lima hingga enam peratus pada tahun ini, telahpun mengambilkira harga minyak mentah yang semakin meningkat sekitar AS$90 (RM272.43) hingga AS$100 (RM302.7) setong.
“Sekiranya harga minyak terus meningkat ia akan memberi kesan kepada ekonomi dunia secara keseluruhannya.
....
Menyentuh mengenai inflasi, Zeti berkata, ia dijangka berada pada kadar 2.5 peratus sehingga 3.5 peratus tahun ini disebabkan oleh peningkatan harga komoditi dan minyak mentah.
Bagaimanapun, masalah itu bukan hanya dialami oleh Malaysia tetapi juga negara-negara serantau.



Sistem kewangan kita kekal stabil

- Utusan Malaysia 24/03/2011


Sistem kewangan negara terus kekal stabil pada 2010, membolehkan sektor kewangan menyediakan sokongan penting kepada ekonomi, meskipun dalam keadaan sepanjang tahun.
Gabenor Bank Negara Malaysia, Tan Sri Dr. Zeti Akhtar Aziz berkata, sektor kewangan disokong oleh asas-asas yang kukuh, termasuk penampan kewangan yang teguh, kualiti aset yang tinggi dan pengurusan risiko yang mantap.
Menurut beliau, kemantapan sektor kewangan bukan sahaja menyumbang kepada fungsi proses pengantaraan kewangan yang cekap, malah ia juga memastikan tindak balas yang teratur kepada kejutan terhadap sistem kewangan.
....
Zeti berkata, biarpun hutang isi rumah meningkat dalam tahun-tahun kebelakangan ini, namun ia terus disokong oleh penampan kewangan yang kukuh pada peringkat agregat.
Untuk memastikan ia tidak menjadi penyebab ketidakstabilan kewangan, dasar yang menyeluruh telah diperkenalkan pada 2010 termasuk dalam sektor hartanah, langkah baharu kad kredit dan keperluan diperkukuh terhadap bank bagi melaksanakan amalan pinjaman yang berhemat dan bertanggungjawab.




Ekonomi diunjur 6% tahun ini

- Utusan Malaysia 24/03/2011


Ekonomi Malaysia diunjurkan berkembang pada kadar 5.0 hingga 6.0 peratus pada tahun 2011, disokong oleh peningkatan berterusan dalam permintaan dalam negeri.
....
Penggunaan swasta akan disokong oleh keadaan pasaran pekerja yang menggalakkan, pendapatan boleh guna lebih tinggi dan keyakinan pengguna yang mapan.
Keadaan guna tenaga dijangka bertambah baik, khususnya lebih banyak peluang pekerjaan dalam sektor perkilangan dan perkhidmatan yang berorientasikan dalam negeri.
Gaji dalam sektor swasta dijangka terus meningkat dan harga komoditi terus tinggi akan meningkatkan pendapatan isi rumah.
Selain itu, akses kepada kredit juga akan memberikan sokongan kepada perbelanjaan isi rumah pada tahun 2011.
....
Inflasi keseluruhan dijangka meningkat pada purata 2.5 hingga 3.5 peratus pada 2011 dan terus didorong oleh faktor penawaran.
Harga komoditi global diramal naik akibat gangguan bekalan disebabkan oleh keadaan cuaca yang buruk, perkembangan geopolitik, aktiviti spekulasi dan permintaan yang kukuh dari ekonomi sedang pesat membangun.

Berita - 18/03/2011


Mesin ATM bank terbesar Jepun ditutup

- Utusan Malaysia 18/03/2011


Mesin juruwang automatik (ATM) yang tidak berfungsi selama dua jam di bank kedua terbesar di Jepun hari ini meningkatkan lagi tekanan ke atas penduduk Tokyo, setelah berjuta-juta penduduk bertindak menyimpan stok barang keperluan dan duduk di dalam rumah disebabkan krisis nuklear di negara ini.

Urus niaga yang begitu banyak di beberapa cawangan Bank Mizuho menyebabkan beribu-ribu ATM bank itu ditutup secara mendadak, satu lagi insiden menggambarkan keadaan kelam-kabut di sebuah negara yang lazimnya dikenali kerana ketepatan dan kecekapannya.

Walaupun ATM itu beroperasi semula kira-kira dua jam kemudian, kerosakan itu memburukkan lagi keadaan tidak selesa dan tidak menentu di kalangan warga Tokyo, sementara pihak berkuasa meneruskan usaha untuk mencegah malapetaka di sebuah kompleks loji nuklear di Fukushima, 240 kilometer ke utara ibu negara.

Ramai antara 13 juta penduduk bandar raya ini sudah pun menyimpan stok makanan, tidak keluar rumah atau pergi ke tempat lain, manakala sesetengahnya membeli emas, satu bentuk simpanan selamat semasa krisis, menyebabkan harganya melonjak sehingga AS$1.50 (RM4.50) seaun di Tokyo.

Berita - 16/03/2011


Jualan panik di Jepun rangsang Bursa rendah

- Utusan Malaysia 16/03/2011


Harga-harga saham di Bursa Malaysia ditutup rendah hari ini dengan para pelabur bertindak balas terhadap jualan panik di Bursa Saham Tokyo dan bursa serantau yang lain, kata para peniaga.

Mereka berkata kemungkinan ancaman nuklear secara besar-besaran di Jepun ekoran kejadian gempa bumi dan tsunami Jumaat lepas akan meningkatkan lagi kebimbangan.

Seorang peniaga berkata yang pasaran juga tidak menentu dengan harga minyak melonjak melepasi US$100 setong ekoran ketegangan politik di Timur Tangah.

Berita - 15/03/2011


Bahana gabungan 3 bencana

- Utusan Malaysia 15/03/2011



Bencana gempa bumi, tsunami dan ancaman radiasi di dua buah reaktor nuklear Jepun bakal menyaksikan ekonomi ketiga terbesar dunia itu bakal jatuh lebih teruk daripada jangkaan awal.

Kekurangan tenaga dan kemungkinan untuk menaikkan kadar cukai dilihat semakin memberi tekanan kepada syarikat dan pengguna, sekali gus memberi kesan kelembapan ekonomi yang lebih teruk selepas gempa bumi di Kobe pada 1995.

Ini didorong oleh faktor harga minyak dan pengukuhan Yen ketika ini serta hutang Jepun yang semakin menimbun.

Bekalan elektrik juga akan diputuskan bermula hari ini dan akan menyebabkan perniagaan serta isi rumah terjejas kerana negara itu sedang bergelut dengan krisis terburuknya selepas Perang Dunia Kedua.

Lebih sejuta rakyatnya hidup tanpa air bersih dan bekalan tenaga di dalam bandar yang telah musnah.

Setelah dibebani hutang yang dua kali ganda saiz ekonominya yang bernilai AS$5 trillion (RM15.13 trillion) selain diancam penurunan penarafan, kerajaan Jepun ketika ini sedang berbincang untuk cukai bagi membiayai kerja-kerja pemulihan.

Pertumbuhan ekonomi Jepun ketika ini adalah lebih baik daripada selepas gempa bumi Kobe.

Bagaimanapun, ia akan mejejaskan keluaran dalam negara kasar (KDNK) beberapa bulan lagi, yang mana negara itu baharu sahaja pulih daripada kemelesetan pada hujung 2010.

"Apabila bercakap mengenai bencana alam, pada awalnya, kamu dapat melihat kejatuhan teruk di dalam pengeluaran, kemudian kamu boleh melihat pemulihan berbentuk V. Tetapi selalunya, setiap orang akan memandang mudah kepada kerosakan tersebut," kata Ketua Ekonomi Global di Societe Generale, Michala Marcussen.

Tambah beliau, bekalan tenaga adalah faktor kritikal, yang mana apabila pengeluaran tenaga terjejas bagi sesuatu tempoh masa, ia akan memberi kesan kepada ekonomi.

Berita - 13/03/2011


Ekonomi: Melayu perlu bangkit

- Utusan Malaysia 13/03/2011


Dewan Perdagangan Islam Malaysia (DPIM) mahu orang Melayu di negara ini bangkit memperjuangkan ekonomi mereka supaya tidak terus ketinggalan berbanding kaum lain.

Timbalan Presidennya, Tan Sri Muhammad Ali Hashim berkata, ketidakseimbangan pencapaian ekonomi antara kaum yang berlaku ketika ini perlu diubah bagi memastikan nasib kaum Melayu pada masa hadapan lebih terjamin dan terus maju.

Menurutnya, bagi mencapai tujuan itu, generasi muda terutama mahasiswa perlu berusaha mempersiapkan diri dengan ilmu pengetahuan yang mendalam serta asas kukuh yang berkait rapat dengan ekonomi.

"Generasi masa depan perlu mempertingkatkan ilmu mengenai bidang ekonomi dan menyusun strategi penjanaan ekonomi dengan baik.

"Mereka perlu menjadi ejen perubahan yang boleh mengubah ekonomi bumiputera ke satu tahap lebih hebat dan mampu bersaing dengan kaum lain dalam bidang ekonomi," katanya ketika membentangkan kertas kerja bertajuk 'Wakaf Korporat Memperkasa Ekonomi Melayu' di Persidangan Kebangsaan Agenda Transformasi Melayu Islam di sini hari ini.

Berita - 12/03/2011


Bursa Asia dilanda tsunami

- Utusan Malaysia 12/03/2011


Pasaran saham Asia mengalami kejatuhan besar hari ini berikutan gempa bumi dan tsunami yang melanda Jepun, serta kebimbangan kenaikan harga minyak mentah.


Kejatuhan pasaran saham Asia dijangka berterusan sehingga minggu hadapan memandangkan petanda-petanda perkhabaran baik terhadap sentimen semakin lemah.

Para penganalisis berkata, kebanyakan pasaran Asia telah mula merosot setelah China mendedahkan data inflasi yang menghampiri lima peratus, menimbulkan kebimbangan terhadap kawalan lebih ketat dalam polisi monetari.

Bagaimanapun, malapetaka terbaharu melanda Jepun serta pergolakan yang tidak menampakkan tanda-tanda penyelesaian segera menambah lagi kekalutan dalam pasaran saham Asia.




Bursa turun mendadak di akhir dagangan

- Utusan Malaysia 12/03/2011


Harga saham di Bursa Malaysia mencatatkan penurunan mendadak pada akhir dagangan hari ini berikutan tekanan jualan berlarutan yang dicetuskan oleh kebimbangan pelabur tentang krisis di Libya dan gempa bumi dahsyat di Jepun.

Mereka berkata pelabur-pelabur juga mengambil sikap berhat-hati sambil memantau perkembangan di Arab Saudi di mana aktivis dijangka mengadakan tunjuk perasaan, yang mendorong kejatuhan harga.



Negara turut rasa tempias jika ekonomi Jepun terjejas
- Utusan Malaysia 12/03/2011

Ekonomi negara akan turut terkena tempias sekiranya kedudukan ekonomi Jepun terjejas teruk akibat dilanda bencana gempa bumi kuat tengah hari tadi. Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Mukhriz Mahathir berkata, Jepun merupakan rakan dagang agak besar selain banyak melabur di negara ini. "Apabila berlaku bencana sebegini besar, sedikit sebanyak ia akan menjejaskan kedudukan ekonomi negara itu dan Malaysia akan rasa tempiasnya. "Jadi, diharap mereka dapat pulihkan keadaan secepat mungkin agar kesan terhadap ekonomi global dapat dikawal supaya terhad," katanya ketika ditemui pemberita pada majlis Perasmian Serentak Persidangan Tahunan Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri Umno di sini hari ini.



BNM kekalkan OPR pada 2.75 peratus
- Utusan Malaysia 12/03/2011


Bank Negara Malaysia (BNM) memutuskan untuk mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) kepada 2.75 peratus tetapi menaikkan Keperluan Rizab Berkanun (SRR) daripada 1.00 peratus kepada 2.00 peratus berkuat kuasa 1 April 2011.

Keputusan itu dibuat selepas mesyuarat Jawatankuasa Monetari dan ia merupakan pengekalan OPR sejak Julai tahun lalu.

Bank Pusat itu berkata, peralihan secara besar-besaran dalam mudah tunai global telah menyebabkan aliran modal besar dalam ekonomi sedang pesat membangun, khususnya ke rantau Asia.

Katanya, fenomena itu telah menyebabkan peningkatan mudah tunai dalam sistem kewangan dalam negeri dan sekiranya tidak diuruskan dengan baik, ia boleh menimbulkan risiko ketidakstabilan makroekonomi dan kewangan.

Berita - 11/03/2011


SRR: BNM dijangka naikkan 1%

- Utusan Malaysia 11/03/2011


Bank Negara Malaysia (BNM) dijangka meningkatkan Keperluan Rizab Berkanun (SRR) kepada satu peratus mata untuk mengelakkan berlaku risiko dalam makroekonomi dan ketidakseimbangan kewangan.

AmResearch dalam nota penyelidikannya berkata, di sebalik kenaikan dalam SRR, bank pusat itu diramal mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) kepada 2.75 peratus untuk kali keempat.

Keputusan itu dijangka dibuat pada Mesyuarat Jawatankuasa Monetari BNM, esok.

Firma penyelidikan tersebut menambah, pendekatan SRR digunakan dalam polisi monetari itu untuk mengekang kebimbangan lebihan kecairan dalam sistem kewangan negara.

''Jika SRR digunakan, BNM dijangka menyerap antara RM6 bilion dan RM7 bilion daripada lebihan kecairan dalam sistem kewangan yang kini dianggarkan memiliki sebanyak RM250 bilion,'' katanya dalam nota penyelidikan itu.



Rehda: Rumah naik harga hingga 50 peratus
- Utusan Malaysia 11/03/2011


Harga rumah yang bakal dilancarkan pada tahun ini meningkat antara dua peratus hingga 50 peratus atau secara puratanya 13 peratus.

Kaji Persatuan Pemaju Perumahan dan Hartanah (Rehda) bagi separuh kedua 2010 mendapati harga bahan binaan dan petrol yang semakin meningkat mendorong kepada kenaikan harga rumah yang dilancarkan pada Januari hingga Jun tahun ini.

Selain itu, pemaju turut berdepan dengan isu kekurangan tanah untuk dibangunkan terutama di bandar-bandar besar seperti Lembah Klang dan Pulau Pinang.

Presiden Rehda, Datuk Seri Michael Yam Kong Choy berkata, hartanah bernilai melebihi RM100,000 sehingga RM500,000 adalah yang senang untuk dijual.

Berita - 10/03/2011

Skim Rumah Pertamaku tidak sebab krisis subprima
- Utusan Malaysia 10/03/2011

Datuk Seri Najib Tun Razak yakin pelancaran Skim Rumah Pertamaku tidak akan menyebabkan krisis subprima di negara ini seperti yang berlaku ke atas banyak institusi perbankan di Amerika Syarikat (AS) hujung tahun lalu.

Perdana Menteri menjelaskan, ini kerana skim pinjaman buat para pembeli rumah di bawah skim itu akan diluluskan secara sistematik dan dikawal selia oleh Bank Negara Malaysia dengan rapi.

Katanya, kaedah itu amat berbeza dengan syarat-syarat longgar yang diamalkan oleh institusi perbankan di negara kuasa besar berkenaan.

"Mereka (institusi perbankan di AS) tidak mengambil kira kemampuan para peminjam untuk membayar balik dan meluluskannya (pinjaman) secara berlebihan dengan cara tidak bertanggungjawab," katanya.



Akta tangani aliran keluar dana
- Utusan Malaysia 10/03/2011

Akta Perkhidmatan Perniagaan Wang akan dibentangkan di Parlimen pada separuh pertama tahun ini, kata Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Tan Sri Zeti Akhtar Aziz.

Katanya, akta itu bertujuan untuk menangani aliran keluar dana.

''Sebelum ini BNM telah memperkenalkan beberapa peraturan seperti pertukaran mata wang dan pengisytiharan keluar masuk mata wang,'' katanya.

Berita - 09/03/2011

Inflasi Asia di peringkat bahaya
- Utusan Malaysia 09/03/2011

Kenaikan harga minyak yang melepasi 20 peratus sejak dua minggu lalu meletakkan kedudukan inflasi Asia di peringkat bahaya, menyebabkan bank-bank pusat bergelut dengan tekanan kenaikan harga pengguna.

.....

''Rantau ini begitu cenderung kepada kejutan harga minyak dan makanan memandangkan peratus pendapatan isi rumah dibelanjakan untuk makanan dan pengangkutan,'' menurut Pakar Ekonomi Capital Economics (Asia) Pte, Vishnu Varathan.



Ringgit ditutup rendah
- Utusan Malaysia 09/03/2011

Ringgit mengakhiri dagangan pada paras lebih rendah berbanding dolar AS hari ini ekoran permintaan komersial yang kukuh bagi mata wang Amerika itu, kata peniaga.

Pada pukul 5 petang, ringgit diniagakan pada 3.0321/0340 berbanding dolar AS daripada 3.0300/0330 semalam.

.....

"Dolar lebih kukuh dan terdapat juga sedikit belian bagi menampung kekurangan pegangan mata wang Amerika itu," katanya.

Berita - 08/03/2011

Harga RON95 perlu dikaji semula
- Utusan Malaysia 08/03/2011

Harga petrol RON95 perlu disemak semula sekiranya harga pasaran minyak mentah dunia kekal melebihi AS$100 (RM300) setong dalam tempoh lebih tiga bulan.

Ketua Pegawai Eksekutif Institut Kepimpinan dan Strategi Asia (ASLI), Datuk Michael Yeoh berkata, kerajaan perlu menilai semula harga tersebut bagi memastikan pemberian subsidi tidak akan meningkat.

''Pada masa ini harga pasaran minyak mentah dunia berlegar melepasi AS$100 (RM300) setong ekoran krisis politik yang melanda Timur Tengah yang merupakan antara pengeluar minyak terbesar di dunia.

''Sekiranya trend kenaikan harga minyak mentah itu berterusan melebihi tiga bulan, kerajaan perlu menimbang untuk menaikkan harga petrol RON95 bagi pasaran tempatan,'' katanya.

.....

Sementara itu, beliau turut melahirkan kebimbangan terhadap peningkatan kadar inflasi semasa ekoran kenaikan harga makanan dunia.

''Penganalisis ekonomi berpendapat, peningkatan harga makanan akan menyebabkan kadar inflasi tempatan melonjak melebihi tiga peratus pada tahun ini,'' jelasnya.

Berita - 05/03/2011

Bakal berlaku tekanan inflasi - Mustapa
- Utusan Malaysia 05/03/2011

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Mustapa Mohamed berkata, bagaimanapun apa yang nyata berlaku adalah kesan kenaikan harga petroleum akibat ketidaktentuan di negara-negara terbabit.

Selain itu, beliau berkata, tekanan inflasi juga mungkin berlaku dalam jangka sederhana.

"Implikasi lain adalah harga makanan akan meningkat mendadak di seluruh dunia. Itu tekanan yang kita juga rasa di negara ini.

Berita - 04/03/2011

Kadar inflasi kekal stabil - Zeti
- Utusan Malaysia 04/03/2011

Kadar inflasi semasa kekal stabil dan dijangka menyokong pertumbuhan ekonomi walaupun terdapat peningkatan harga komoditi yang konsisten ketika ini, kata Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Tan Sri Dr. Zeti Akhtar Aziz.

Malah, harga minyak mentah dunia yang melepasi paras AS$100 (RM300) juga tidak boleh menjadi penanda aras kepada ketidakstabilan ekonomi negara.

BNM bagaimanapun perlu membuat penilaian terlebih dahulu sama ada berlakunya gangguan bekalan komoditi atau tidak pada waktu ini, ujar Zeti..




Malaysia lubuk pelaburan negara-negara Arab

- Utusan Malaysia 04/03/2011
 
Malaysia bakal menjadi lubuk pelaburan negara-negara Arab setelah nilai pemeteraian memorandum perjanjian persefahaman (MoU) pelaburan negara-negara itu dengan negara ini lebih AS$40 bilion (RM128 bilion) pada tahun lalu.

Pengerusi Dewan Perniagaan Arab Malaysia (AMCC), Mohamad Radwan Alami berkata, , jumlah nilai MoU itu dijangka meningkat sebanyak 40 peratus pada tahun ini.

Beliau berkata, Malaysia merupakan negara berpotensi untuk dilabur berikutan kekuatan negara ini dalam dua aspek iaitu perindustrian dan kewangan Islam.



Ringgit ditutup kukuh
- Utusan Malaysia 04/03/2011

Ringgit menyaksikan peningkatan berbanding dolar AS pada akhir dagangan hari ini berikutan kenaikan mata wang Asia, kata peniaga.

Penurunan harga minyak mentah ekoran semakin redanya ketegangan di Libya, merangsang sentimen terhadap pasaran dan mata wang Asia, kata peniaga.

Seorang peniaga berkata, kedudukan ringgit kekal kukuh dan dijangka berkisar sekitar paras semasa iaitu 3.0000.

Berita - 03/03/2011

AS boleh 'pokai' tidak lama lagi
- Utusan Malaysia 03/03/2011

Jumlah hutang Amerika Syarikat (AS) dijangka meningkat mencapai hadnya kepada AS$14.29 trilion (RM43.44 trilion) tidak lama lagi, sekali gus memaksa penggubal dasar berbuat sesuatu untuk mengelak kerajaan tumbang, kata pihak Perbendaharaan AS.

Pegawai Perbendaharaan Kanannya, Mary Miller berkata, Jabatan Perbendaharaan menjangkakan hutang negara itu akan mencapai hadnya menjelang 15 April hingga 31 Mei ini.



Minyak New York lepasi AS$100 setong
- Utusan Malaysia 03/03/2011

Penanda aras bagi kontrak masa depan minyak mentah New York meningkat melepasi AS$100 (RM303) setong, disebabkan ketidaktentuan di Timur Tengah dan kebimbangan ke atas ekonomi negara-negara Asia yang kini dibebani dengan kenaikan inflasi.

Kontrak penghantaran bagi April naik sebanyak AS$0.71 (RM2.15) kepada AS$100.34 (RM304.03) setong hari ini.

Kenaikan tertinggi yang pernah dicatatkan bagi minyak mentah New York adalah AS$147 (RM445.41) setong pada 2008.

Minyak mentah 'Brent North' bagi penghantaran April masih dalam trend menaik kepada AS$116 (RM351.48) setong, selepas melonjak ke paras AS$120 (RM363.60) setong minggu lalu.

.....

Sementara itu, Firma Penyelidik Capital Ekonomi dalam komentar pasaran berkata, kebimbangan dalam pasaran terhadap kenaikan harga minyak akan menyebabkan inflasi dan menjejaskan ekonomi di Asia.

Berita - 02/03/2011

Ringgit ditutup tinggi - Utusan Malaysia 02/03/2011

Ringgit ditutup tinggi berbanding dolar AS hari ini seiring dengan pengukuhan mata wang serantau yang lain, kata para peniaga.
Pada pukul 5 petang, mata wang tempatan melonjak kepada 3.0350/0375 daripada semasa ditutup pada Isnin pada 3.0500/0530.
Seorang peniaga berkata, spekulasi bahawa Pengerusi Rizab Persekutuan Ben Bernanke akan meneruskan dasar kelonggaran monetari sehingga Jun menyokong mata wang tempatan.
Dolar Amerika dijangka lemah pada suku pertama tahun ini dengan ringgit bertambah kukuh yang dijangka menokok kepada 2.97 berbanding dolar."Asas pendasar bagi ringgit yang kukuh masih teguh," kata seorang lagi peniaga.