Malaysia hadapi risiko kenaikan inflasi


Malaysia hadapi risiko kenaikan inflasi

- Utusan Malaysia 14/05/2011


LUXEMBOURG 13 Mei – Malaysia sedang berhadapan dengan risiko kenaikan inflasi, sementara zon Eropah berhadapan dengan krisis hutang dan peningkatan harga tenaga yang boleh mengugat pertumbuhan stabil ekonomi, kata Gabenor Bank Negara Malaysia, Tan Sri Zeti Akhtar Aziz.

‘‘Terdapat kecenderungan terhadap risiko kenaikan inflasi, namun ia sebaliknya bagi pertumbuhan,’’ katanya kepada agensi berita Reuters di Persidangan Perbankan Islam di sini hari ini.

‘‘Terdapat risiko peningkatan inflasi. Ia merupakan fenomena sejagat apabila harga komoditi dan tenaga akan ditafsirkan kepada kenaikan harga makanan dan minyak.

‘‘Ia adalah sesuatu yang kami pantau secara dekat. Pada masa ini penilaian masih lagi di sekitar jangkaan iaitu pada paras 2.5 hingga 3.5 peratus,’’ katanya.

Ditanya mengenai pembuat dasar Malaysia yang sedang menimbang menaikkan unjuran inflasi pada mesyuarat yang lepas, Zeti berkata,‘‘ Tidak pada masa ini. Walaupun risiko ada, tetapi tidak terdapat maklumat lanjut untuk menukarnya,’’ jelas beliau.

Bank pusat Malaysia telah menaikkan penanda aras kadar faedah kepada tiga peratus pada April berbanding 2.75 peratus.

Penganalisis melihat mata asas akan dinaikkan lagi sekitar 25 hingga 50 mata asas pada separuh kedua tahun ini.

Zeti berkata, kesan ekonomi kepada Malaysia berikutan bencana gempa bumi di Jepun adalah terhad manakala kesan terhadap krisis Timur Tengah tidak dapat dielakkan.

Berita - 08/04/2011


Portugal minta bantuan EU

- Utusan Malaysia 08/04/2011



Kegagalan menguruskan hutang dengan baik telah memaksa Portugal meminta bantuan Kesatuan Eropah untuk menyelamatnya.


Ia merupakan negara ketiga selepas Ireland dan Greece yang berbuat demikian.

Para penganalisis berkata, Portugal kemungkinan meminta pakej bantuan bernilai 70 bilion euro (RM320 bilion) berbanding 85 bilion euro (RM367.2 bilion) oleh Ireland dan Greece pula 110 bilion euro (RM332.2 bilion).

Portugal terpaksa memohon bantuan itu disebabkan kelemahan ekonomi berterusan dalam zon Eropah itu termasuk jiran terdekatnya, Sepanyol.




Jepun alami tekanan ekonomi

- Utusan Malaysia 08/04/2011


Bank of Tokyo (BOJ) hari ini memberi amaran bahawa ekonomi negara itu mengalami 'tekanan menurun yang kuat' ekoran dilanda dua bencana alam dan pengenalan program pinjaman bernilai satu trilion yen (RM35.33 bilion).


Keadaan itu menyebabkan kadar faedah kekal antara sifar dan 0.1 peratus.

Program pembiayaan baru itu menawarkan pinjaman setahun yang murah untuk membolehkan institusi kewangan di kawasan bencana mampu memenuhi keperluan pembinaan semula lokasi terbabit.

Penarafan terhadap ekonomi Jepun telah meletakkan negara itu dalam keadaan krisis terburuk sejak Perang Dunia Kedua.

''Ekonomi Jepun berada dalam tekanan disebabkan oleh faktor pengeluaran,'' katanya.

Bencana alam itu telah menjejaskan pengeluaran disebabkan kemusnahan kemudahan, gangguan rantaian bekalan dan gangguan bekalan elektrik.

Berita - 07/08/2011


Majoriti responden jangka BNM naikkan OPR

- Utusan Malaysia 07/04/2011


Satu kaji selidik ke atas ekonomi dan pasaran bon Malaysia oleh Malaysian Rating Corporation Bhd. (MARC) menunjukkan 78.1 peratus responden menjangkakan yang Bank Negara Malaysia (BNM) akan menaikkan kadar dasar semalaman (OPR) sementara 18.8 peratus mengharapkan kenaikan kadar ditangguhkan tahun ini.

MARC berkata, majoriti daripada responden yang meramalkan kenaikan kadar faedah, percaya jumlah kenaikan ialah daripada 25 mata asas hingga 50 mata asas.

Ia turut berkata, ringgit telah bersedia untuk kekal kukuh dalam tempoh terdekat dengan urus niaga dalam lingkungan 3.00 hingga 3.10 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS), katanya.

Ia berkata, sebahagian besar responden menganggarkan yang keluk perolehan kekal runcing tahun ini dengan kebimbangan penawaran yang tinggi menguasai bon kedaulatan ringgit sementara kelas aset berisiko diramalkan akan meneruskan kerancakan masing-masing dalam tempoh yang sama.

Bagaimanapun, majoriti daripada responden kurang positif terhadap persekitaran operasi korporat domestik meskipun bersetuju yang ekonomi akan kekal dalam rentak pemulihan, kata MARC dalam satu kenyataan.


MARC berkata 69.6 peratus responden menjangkakan persekitaran operasi yang lebih sukar untuk korporat sementara hanya 13 peratus mengunjurkan yang persekitaran operasi akan memantau pemulihan ekonomi.



Asia perlu kawal inflasi - ADB

- Utusan Malaysia 07/04/2011


Kawalan inflasi perlu menjadi keutamaan di rantau Asia disebabkan kenaikan harga makanan dan minyak berpunca daripada pergolakan di Timur Tengah, kata Bank Pembangunan Asia (ADB).

Institusi pinjaman di Manila hari ini memberi amaran bahawa beberapa ekonomi di Asia telah menunjukkan potensi paras 'bahaya' dan menyatakan kadar pertukaran lebih fleksibel dan kawalan modal boleh membantu kos pengguna dan mengurangkan tekanan kepada orang miskin.

Kadar inflasi dijangka mencecah 5.3 peratus pada tahun ini berbanding 4.4 peratus pada tahun lepas disebabkan krisis nuklear di Jepun dan pergolakan di Timur Tengah, kata ADB.

''Meskipun kadar inflasi masih rendah tetapi pembuat dasar serantau menjadikan usaha mengawal inflasi sebagai fokus utama.

''Tekanan inflasi sedang meningkat dan pendekatan awal diperlukan untuk menangani kedudukan 'bahaya','' kata ADB dalam Tinjauan Pembangunan Asia 2011.

ADB memberi amaran kenaikan harga minyak dan makanan boleh menggoncang kestabilan pembangunan mikroekonomi Asia dan boleh mengakibatkan ketidakseimbangan pendapatan dan berpotensi untuk meningkatkan tekanan sosial.

Kos makanan merentas rantau telah merekodkan kenaikan pada Februari lalu, kata ADB.

Harga minyak mencatatkan kenaikan 28 bulan tertinggi Isnin lalu dengan minyak Brent berada pada paras AS$120 setong (RM362.4) buat kali pertama sejak 22 Ogos lalu berikutan kebimbangan gangguan bekalan minyak.

Berita - 06/04/2011


Bank Negara pantau punca inflasi

- Utusan Malaysia 06/04/2011


Bank Negara Malaysia (BNM) sedang memantau perkembangan kenaikan kadar inflasi dengan cukup berhati-hati untuk menentu puncanya yang sebenar.

Gabenornya, Tan Sri Dr. Zeti Akhtar Aziz berkata, pemantauan itu bertujuan memastikan sama ada kenaikan itu dipacu oleh permintaan atau faktor bekalan.

''Kami juga perlu melihat sama ada perkembangan ini (kenaikan inflasi) adalah bersifat sementara atau kekal untuk jangka panjang,'' katanya ketika ditemui selepas menyampaikan ucaptama pada Forum Pembuat Dasar Inklusif Kewangan di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya sama ada bank pusat itu perlu menaikkan kadar faedah untuk mengekang inflasi seperti yang dilaksanakan oleh negara-negara lain.

Malaysia mencatatkan kadar inflasi sebanyak 2.9 peratus pada Februari lalu, kenaikan tertinggi dalam tempoh 22 bulan.


Kadar inflasi bagi Januari ialah 2.4 peratus.

Rata-rata penganalisis tempatan menyifatkan kenaikan kadar inflasi Februari lalu amat memeranjatkan, sekali gus memberi tekanan kepada BNM khususnya ketika pulangan sebenar kadar faedah menjadi negatif buat kali pertama dalam tempoh 26 bulan.

Kadar inflasi diunjur berada pada sekitar 3.0 hingga 3.5 peratus pada tahun ini dan kenaikan dijangka lebih ketara pada separuh pertama disokong oleh pertumbuhan ekonomi global.

Ditanya kemungkinan bank pusat perlu menaikkan kadar faedah dalam mesyuarat Jawatankuasa Monetari pada Mei ini, Zeti berkata: ''Anda akan mengetahui (sebarang keputusan) selepas mesyuarat itu nanti''.

Gabenor berkata, bank pusat itu akan mengambil kira penilaian termasuk risiko pertumbuhan dan sokongan lanjut polisi monetari sebelum menaikkan kadar faedah.

Pada 1 Mac lalu, BNM telah mengekalkan Dasar Semalaman pada kadar 2.75 peratus tetapi menaikkan Keperluan Rizab Berkanun (SRR) kepada dua peratus berbanding satu peratus berkuat kuasa awal bulan ini.





- Utusan Malaysia 06/04/2011


Bank Negara Malaysia (BNM) tidak mengalami sebarang kerugian atau beban kewangan ekoran masalah percetakan yang menyebabkan kekurangan wang kertas baru ketika perayaan Tahun Baru Cina yang lalu.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, ini kerana di bawah perjanjian pesanan yang ditandatangani antara BNM dan syarikat pencetak wang kertas, syarikat tersebut bertanggungjawab ke atas segala kos, bayaran atau apa-apa tanggungan lain dalam melaksanakan kontrak percetakan yang diberikan.

"Kejadian itu berpunca daripada percetakan yang kurang jelas atau luntur sekiranya dibasuh menggunakan bahan cucian atau peluntur yang berat.

"Namun, BNM tidak alami kerugian ekoran masalah percetakan tersebut kerana segala kos ditanggung syarikat bertanggungjawab," katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau yang juga Menteri Kewangan menjawab soalan Wee Choo Keong (Bebas-Wangsa Maju) mengenai kerugian yang ditanggung BNM akibat kesalahan dalam percetakan wang kertas Malaysia yang menimbulkan masalah kekurangan wang kertas baru ketika Tahun Baru Cina.

Berita - 25/03/2011


Selamat labur dalam emas

- Harian Metro 25/03/2011


MASYARAKAT tempatan terutama golongan wanita yang gemar menggunakan perhiasan berasaskan emas digalakkan supaya menjadikan hobi itu sebagai pelaburan utama memandangkan nilai bahan itu melonjak tinggi hampir setiap tahun.

Pengurus Kanan Operasi Runcit Habib Jewels Sdn Bhd, Mohd Zaruddin Mahmud berkata, naik turun nilai emas tidak terlalu terpengaruh jika berlaku inflasi dan hal itu menjadi faktor utama mendorong masyarakat untuk membeli emas dan membuat pelaburan.

“Melabur dalam aset ini adalah satu pelaburan yang selamat dan tidak akan terjejas walaupun situasi dunia sekarang yang sedang bergolak dan menghadapi masalah ketidaktentuan dalam kestabilan ekonomi,” katanya.

“Pelaburan emas yang menguntungkan ini adalah pelaburan jangka panjang. Jika beli emas sekarang, selepas lima hingga 10 tahun nilai emas akan naik,” katanya kini harga emas bernilai RM157 per gram.



Hartanah naik mendadak?

- Utusan Malaysia 25/03/2011


Harga hartanah di Kuala Lumpur dan Pulau Pinang bakal menyamai Singapura dalam beberapa tahun akan datang sekali gus menjadikan harga rumah kediaman dan komersial naik mendadak.

Pakar Ekonomi JP Morgan Singapura, Ong Sin Beng berkata, kenaikan harga hartanah di kedua-dua lokasi di Malaysia itu berikutan lokasinya, kenaikan harga tanah tanpa kawalan dan terdapatnya pembangunan hartanah mewah di tempat-tempat strategik.

Katanya, daripada segi pasaran, senario itu amat baik kerana mampu menjana ekonomi tetapi menyukarkan golongan berpendapatan pertengahan memiliki hartanah yang harganya sebegitu mahal.

"Persoalan kini kenaikan harga hartanah yang mendadak menyempitkan lagi peluang kepada golongan tertentu untuk membelinya tetapi tidak bagi golongan kaya," katanya.

Beliau berkata demikian dalam forum anjuran Persatuan Ekonomi Malaysia (MEA) sempena Laporan Tahunan Bank Negara di sini hari ini.

...

Dalam pada itu, Dr. Subramianim Pillay dari MEA yakin terhadap unjuran ekonomi Malaysia bagi 2011 dan 2012.

Beliau berkata, Malaysia bergantung besar terhadap pelaburan tempatan dan apa yang berlaku di Jepun hanya merupakan gangguan sementara.

Katanya, syarikat-syarikat Jepun mungkin meningkatkan pengeluaran di kilang tempatannya berikutan kemudahannya di Jepun tidak dapat beroperasi.

"Dalam tempoh tiga bulan, kedudukan ekonomi dunia mungkin meningkat apabila Jepun mula membangunkan semula infrastrukturnya yang musnah, merangsang permintaan untuk bahan mentah," katanya.

Tambah Subramaniam, kebergantungan ekonomi kepada Jepun mungkin menjejaskan sedikit ekonomi negara namun beliau percaya negara matahari terbit itu akan bangkit dalam beberapa bulan akan datang.