Berita - 07/08/2011


Majoriti responden jangka BNM naikkan OPR

- Utusan Malaysia 07/04/2011


Satu kaji selidik ke atas ekonomi dan pasaran bon Malaysia oleh Malaysian Rating Corporation Bhd. (MARC) menunjukkan 78.1 peratus responden menjangkakan yang Bank Negara Malaysia (BNM) akan menaikkan kadar dasar semalaman (OPR) sementara 18.8 peratus mengharapkan kenaikan kadar ditangguhkan tahun ini.

MARC berkata, majoriti daripada responden yang meramalkan kenaikan kadar faedah, percaya jumlah kenaikan ialah daripada 25 mata asas hingga 50 mata asas.

Ia turut berkata, ringgit telah bersedia untuk kekal kukuh dalam tempoh terdekat dengan urus niaga dalam lingkungan 3.00 hingga 3.10 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS), katanya.

Ia berkata, sebahagian besar responden menganggarkan yang keluk perolehan kekal runcing tahun ini dengan kebimbangan penawaran yang tinggi menguasai bon kedaulatan ringgit sementara kelas aset berisiko diramalkan akan meneruskan kerancakan masing-masing dalam tempoh yang sama.

Bagaimanapun, majoriti daripada responden kurang positif terhadap persekitaran operasi korporat domestik meskipun bersetuju yang ekonomi akan kekal dalam rentak pemulihan, kata MARC dalam satu kenyataan.


MARC berkata 69.6 peratus responden menjangkakan persekitaran operasi yang lebih sukar untuk korporat sementara hanya 13 peratus mengunjurkan yang persekitaran operasi akan memantau pemulihan ekonomi.



Asia perlu kawal inflasi - ADB

- Utusan Malaysia 07/04/2011


Kawalan inflasi perlu menjadi keutamaan di rantau Asia disebabkan kenaikan harga makanan dan minyak berpunca daripada pergolakan di Timur Tengah, kata Bank Pembangunan Asia (ADB).

Institusi pinjaman di Manila hari ini memberi amaran bahawa beberapa ekonomi di Asia telah menunjukkan potensi paras 'bahaya' dan menyatakan kadar pertukaran lebih fleksibel dan kawalan modal boleh membantu kos pengguna dan mengurangkan tekanan kepada orang miskin.

Kadar inflasi dijangka mencecah 5.3 peratus pada tahun ini berbanding 4.4 peratus pada tahun lepas disebabkan krisis nuklear di Jepun dan pergolakan di Timur Tengah, kata ADB.

''Meskipun kadar inflasi masih rendah tetapi pembuat dasar serantau menjadikan usaha mengawal inflasi sebagai fokus utama.

''Tekanan inflasi sedang meningkat dan pendekatan awal diperlukan untuk menangani kedudukan 'bahaya','' kata ADB dalam Tinjauan Pembangunan Asia 2011.

ADB memberi amaran kenaikan harga minyak dan makanan boleh menggoncang kestabilan pembangunan mikroekonomi Asia dan boleh mengakibatkan ketidakseimbangan pendapatan dan berpotensi untuk meningkatkan tekanan sosial.

Kos makanan merentas rantau telah merekodkan kenaikan pada Februari lalu, kata ADB.

Harga minyak mencatatkan kenaikan 28 bulan tertinggi Isnin lalu dengan minyak Brent berada pada paras AS$120 setong (RM362.4) buat kali pertama sejak 22 Ogos lalu berikutan kebimbangan gangguan bekalan minyak.

Tiada ulasan: