Berita - 25/03/2011


Selamat labur dalam emas

- Harian Metro 25/03/2011


MASYARAKAT tempatan terutama golongan wanita yang gemar menggunakan perhiasan berasaskan emas digalakkan supaya menjadikan hobi itu sebagai pelaburan utama memandangkan nilai bahan itu melonjak tinggi hampir setiap tahun.

Pengurus Kanan Operasi Runcit Habib Jewels Sdn Bhd, Mohd Zaruddin Mahmud berkata, naik turun nilai emas tidak terlalu terpengaruh jika berlaku inflasi dan hal itu menjadi faktor utama mendorong masyarakat untuk membeli emas dan membuat pelaburan.

“Melabur dalam aset ini adalah satu pelaburan yang selamat dan tidak akan terjejas walaupun situasi dunia sekarang yang sedang bergolak dan menghadapi masalah ketidaktentuan dalam kestabilan ekonomi,” katanya.

“Pelaburan emas yang menguntungkan ini adalah pelaburan jangka panjang. Jika beli emas sekarang, selepas lima hingga 10 tahun nilai emas akan naik,” katanya kini harga emas bernilai RM157 per gram.



Hartanah naik mendadak?

- Utusan Malaysia 25/03/2011


Harga hartanah di Kuala Lumpur dan Pulau Pinang bakal menyamai Singapura dalam beberapa tahun akan datang sekali gus menjadikan harga rumah kediaman dan komersial naik mendadak.

Pakar Ekonomi JP Morgan Singapura, Ong Sin Beng berkata, kenaikan harga hartanah di kedua-dua lokasi di Malaysia itu berikutan lokasinya, kenaikan harga tanah tanpa kawalan dan terdapatnya pembangunan hartanah mewah di tempat-tempat strategik.

Katanya, daripada segi pasaran, senario itu amat baik kerana mampu menjana ekonomi tetapi menyukarkan golongan berpendapatan pertengahan memiliki hartanah yang harganya sebegitu mahal.

"Persoalan kini kenaikan harga hartanah yang mendadak menyempitkan lagi peluang kepada golongan tertentu untuk membelinya tetapi tidak bagi golongan kaya," katanya.

Beliau berkata demikian dalam forum anjuran Persatuan Ekonomi Malaysia (MEA) sempena Laporan Tahunan Bank Negara di sini hari ini.

...

Dalam pada itu, Dr. Subramianim Pillay dari MEA yakin terhadap unjuran ekonomi Malaysia bagi 2011 dan 2012.

Beliau berkata, Malaysia bergantung besar terhadap pelaburan tempatan dan apa yang berlaku di Jepun hanya merupakan gangguan sementara.

Katanya, syarikat-syarikat Jepun mungkin meningkatkan pengeluaran di kilang tempatannya berikutan kemudahannya di Jepun tidak dapat beroperasi.

"Dalam tempoh tiga bulan, kedudukan ekonomi dunia mungkin meningkat apabila Jepun mula membangunkan semula infrastrukturnya yang musnah, merangsang permintaan untuk bahan mentah," katanya.

Tambah Subramaniam, kebergantungan ekonomi kepada Jepun mungkin menjejaskan sedikit ekonomi negara namun beliau percaya negara matahari terbit itu akan bangkit dalam beberapa bulan akan datang.

Tiada ulasan: