Berita - 15/03/2011


Bahana gabungan 3 bencana

- Utusan Malaysia 15/03/2011



Bencana gempa bumi, tsunami dan ancaman radiasi di dua buah reaktor nuklear Jepun bakal menyaksikan ekonomi ketiga terbesar dunia itu bakal jatuh lebih teruk daripada jangkaan awal.

Kekurangan tenaga dan kemungkinan untuk menaikkan kadar cukai dilihat semakin memberi tekanan kepada syarikat dan pengguna, sekali gus memberi kesan kelembapan ekonomi yang lebih teruk selepas gempa bumi di Kobe pada 1995.

Ini didorong oleh faktor harga minyak dan pengukuhan Yen ketika ini serta hutang Jepun yang semakin menimbun.

Bekalan elektrik juga akan diputuskan bermula hari ini dan akan menyebabkan perniagaan serta isi rumah terjejas kerana negara itu sedang bergelut dengan krisis terburuknya selepas Perang Dunia Kedua.

Lebih sejuta rakyatnya hidup tanpa air bersih dan bekalan tenaga di dalam bandar yang telah musnah.

Setelah dibebani hutang yang dua kali ganda saiz ekonominya yang bernilai AS$5 trillion (RM15.13 trillion) selain diancam penurunan penarafan, kerajaan Jepun ketika ini sedang berbincang untuk cukai bagi membiayai kerja-kerja pemulihan.

Pertumbuhan ekonomi Jepun ketika ini adalah lebih baik daripada selepas gempa bumi Kobe.

Bagaimanapun, ia akan mejejaskan keluaran dalam negara kasar (KDNK) beberapa bulan lagi, yang mana negara itu baharu sahaja pulih daripada kemelesetan pada hujung 2010.

"Apabila bercakap mengenai bencana alam, pada awalnya, kamu dapat melihat kejatuhan teruk di dalam pengeluaran, kemudian kamu boleh melihat pemulihan berbentuk V. Tetapi selalunya, setiap orang akan memandang mudah kepada kerosakan tersebut," kata Ketua Ekonomi Global di Societe Generale, Michala Marcussen.

Tambah beliau, bekalan tenaga adalah faktor kritikal, yang mana apabila pengeluaran tenaga terjejas bagi sesuatu tempoh masa, ia akan memberi kesan kepada ekonomi.

Tiada ulasan: