Berita - 12/03/2011


Bursa Asia dilanda tsunami

- Utusan Malaysia 12/03/2011


Pasaran saham Asia mengalami kejatuhan besar hari ini berikutan gempa bumi dan tsunami yang melanda Jepun, serta kebimbangan kenaikan harga minyak mentah.


Kejatuhan pasaran saham Asia dijangka berterusan sehingga minggu hadapan memandangkan petanda-petanda perkhabaran baik terhadap sentimen semakin lemah.

Para penganalisis berkata, kebanyakan pasaran Asia telah mula merosot setelah China mendedahkan data inflasi yang menghampiri lima peratus, menimbulkan kebimbangan terhadap kawalan lebih ketat dalam polisi monetari.

Bagaimanapun, malapetaka terbaharu melanda Jepun serta pergolakan yang tidak menampakkan tanda-tanda penyelesaian segera menambah lagi kekalutan dalam pasaran saham Asia.




Bursa turun mendadak di akhir dagangan

- Utusan Malaysia 12/03/2011


Harga saham di Bursa Malaysia mencatatkan penurunan mendadak pada akhir dagangan hari ini berikutan tekanan jualan berlarutan yang dicetuskan oleh kebimbangan pelabur tentang krisis di Libya dan gempa bumi dahsyat di Jepun.

Mereka berkata pelabur-pelabur juga mengambil sikap berhat-hati sambil memantau perkembangan di Arab Saudi di mana aktivis dijangka mengadakan tunjuk perasaan, yang mendorong kejatuhan harga.



Negara turut rasa tempias jika ekonomi Jepun terjejas
- Utusan Malaysia 12/03/2011

Ekonomi negara akan turut terkena tempias sekiranya kedudukan ekonomi Jepun terjejas teruk akibat dilanda bencana gempa bumi kuat tengah hari tadi. Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Mukhriz Mahathir berkata, Jepun merupakan rakan dagang agak besar selain banyak melabur di negara ini. "Apabila berlaku bencana sebegini besar, sedikit sebanyak ia akan menjejaskan kedudukan ekonomi negara itu dan Malaysia akan rasa tempiasnya. "Jadi, diharap mereka dapat pulihkan keadaan secepat mungkin agar kesan terhadap ekonomi global dapat dikawal supaya terhad," katanya ketika ditemui pemberita pada majlis Perasmian Serentak Persidangan Tahunan Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri Umno di sini hari ini.



BNM kekalkan OPR pada 2.75 peratus
- Utusan Malaysia 12/03/2011


Bank Negara Malaysia (BNM) memutuskan untuk mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) kepada 2.75 peratus tetapi menaikkan Keperluan Rizab Berkanun (SRR) daripada 1.00 peratus kepada 2.00 peratus berkuat kuasa 1 April 2011.

Keputusan itu dibuat selepas mesyuarat Jawatankuasa Monetari dan ia merupakan pengekalan OPR sejak Julai tahun lalu.

Bank Pusat itu berkata, peralihan secara besar-besaran dalam mudah tunai global telah menyebabkan aliran modal besar dalam ekonomi sedang pesat membangun, khususnya ke rantau Asia.

Katanya, fenomena itu telah menyebabkan peningkatan mudah tunai dalam sistem kewangan dalam negeri dan sekiranya tidak diuruskan dengan baik, ia boleh menimbulkan risiko ketidakstabilan makroekonomi dan kewangan.

Tiada ulasan: